Ambulans terbabit kemalangan: 7 cedera - Utusan Malaysia

Ambulans terbabit kemalangan: 7 cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN 24 Dis. – Tujuh cedera apabila sebuah ambulans yang dalam perjalanan membawa empat orang pesakit terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan lampu isyarat Taman Merah, Sungai Rambai di Lebuh Alor Gajah-Melaka Jasin (AMJ) dekat sini pagi ini.

Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.10 pagi ketika ambulans milik Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia itu dinaiki tiga petugas termasuk pemandu dan membawa empat pesakit dari Melaka ke Muar, Johor terbabit dalam kemalangan dengan sebuah MPV jenis Toyota Wish.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, ambulans itu tidak sempat mengelak lalu berlanggar dengan MPV menyebabkan kesemua tujuh individu dalam kenderaan perubatan itu mengalami kecederaan.

“Tujuh orang yang berada dalam ambulans berkenaan mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menaiki ambulans Kementerian Kesihatan manakala tiga individu yang menaiki Toyota Wish tidak mengalami kecederaan.

“Lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan 1 Dzulkarnain Abd. Halim dari Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau bergegas ke lokasi kemalangan untuk menyelamatkan mangsa sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 11.13 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut jurucakap itu, kerja-kerja menyelamat mangsa kemalangan selesai pada pukul 12.10 tengah hari. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN