LONDON 1 Dis. – Pemain tengah Tottenham, Harry Wingks memberi amaran kepada Arsenal bahawa pasukannya kini berada di tahap terbaik untuk menamatkan kemarau kemenangan selepas 18 perlawanan di antara kedua-dua pasukan tersebut.
Skuad kendalian Mauricio Pochettino akan bertandang ke Stadium Emirates dengan rekod enam kemenangan berturut-turut mencari tiga mata untuk mengukuhkan kedudukan mereka di tangga ketiga liga.
Spurs juga masih segar dengan kemenangan mereka 1-0 ke atas Inter Milan sekali gus menempah tiket ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara lebih awal meskipun baki satu perlawanan dalam tangan.
Pertemuan menentang Arsenal pastinya bukan tugas mudah buat Spurs setelah skuad kendalian Unai Emery mempamerkan prestasi konsisten dalam tiga bulan terakhir malah berada tiga mata di belakang Tottenham.
Bagaimanapun, pemain kebangsaan England itu berkata pertemua derby London itu tepat pada masanya untuk Tottenham kerana mereka mahu menewaskan seteru utama buat kali pertama di tempat lawan selepas kali terakhir melakukannya pada 2010.
“Ini perlawanan yang penyokong mahukan kemenangan dan begitu juga dengan kami. Tiga perlawanan dalam seminggu pastinya sukar namun keyakinan kami memuncak.
“Sudah pasti mereka boleh dikalahkan. Prestasi kami di tahap terbaik dan ini adalah masa yang sesuai untuk kami ke sana. Pastinya perlawanan esok menarik,” katanya. – AFP










