Amalkan politik bersih jika ingin kekal berkuasa - Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

Amalkan politik bersih jika ingin kekal berkuasa – Dr. Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 9 Dis.- Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan keempat-empat komponen Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah agar terus mengamalkan politik bersih sekiranya ingin menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Tegas Pengerusi PH, para pemimpin termasuk ahli-ahli parti terlibat perlu mengelakkan amalan dilarang termasuk mengambil upah atau habuan daripada sesiapa pun.

“Kalau kita hendak negara bersih, kita jangan tamakkan wang, maka kita (PH) akan terus berkuasa.

“Masa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang tidak akan saya pimpin selepas ini, kita akan menang jika bersih. Tetapi kalau kotor dan amal rasuah, kita tidak akan menang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Amal Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri lagi, budaya ‘cash is king’ (wang adalah raja) tiada dalam amalan PH dan sesiapa yang cuba menghulur untuk mendapat layanan tertentu akan dituduh memberi rasuah serta berhadapan tindakan undang-undang.

Beliau menambah, PH cuba berharap rakyat turut bersama dalam usaha menolak rasuahnya.

Sementara itu, Dr. Mahathir meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng agar membantu golongan miskin di negara ini yang dilihat tidak dapat menunggu sehingga ekonomi negara pulih.

“PH selalu mendengar suara rakyat jika mereka menuntutnya secara aman, kita akan membantu mereka dengan sebaik-baiknya,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN