Amalan monopoli akan dihentikan - Utusan Malaysia

Amalan monopoli akan dihentikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menggerakkan satu jawatan kuasa khas untuk melihat kaedah terbaik bagi mengatasi amalan monopoli perdagangan makanan termasuk ternakan ayam.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada masa ini aktiviti pengimportan perdagangan makanan ternakan khususnya ayam dilakukan di negara jiran dan ia perlu diubah sebagai usaha me­ngawal harga telur dalam jangka masa panjang.

Katanya lagi, sebanyak 26 pe­dagang tempatan dikenal pasti mengimport makanan ternakan dari Brazil dan Argentina sejak berpuluh tahun lalu dengan nilai import sekitar RM35 bilion setahun.

“Urusan perdagangan ini pula dibuat di Singapura termasuklah dari segi kewangan, cukai dan insurans sebelum makanan ternakan itu dibawa masuk ke Malaysia.

“Apabila berlaku pemindahan harga disebabkan oleh tukaran wang, ia akan mengakibatkan harga makanan ternakan sukar dikawal dan meningkat, sete­rusnya dijadikan alasan oleh penternak untuk menaikkan harga telur.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani difahamkan bahawa kenaikan harga kos makanan ternakan yang merupakan 70 peratus daripada kos pengeluaran menjadi antara sebab utama mengapa harga telur meningkat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sempena Program Jualan Rakyat Parlimen Pokok Sena di Padang Awam KEDA, Jalan Kuala Nerang, Pokok Sena di sini semalam.

Menurut Saifuddin lagi, pihaknya menerusi satu jawatan kuasa khas diketuai Ketua Setiausaha kementerian sedang melihat bagaimana urusan dan sistem perdagangan itu ditukar dan dapat dilakukan di negara ini selepas ini.

“Kerajaan sedia maklum bahawa amalan perniagaan yang dibuat di negara jiran ini telah berjalan lama, tetapi kita akan fikirkan cara nak ganti sistem tersebut termasuk mengenal pasti sektor swasta yang berminat untuk menggantikan pe­ranan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya langkah jangka masa panjang itu dapat dilaksanakan, isu kenaikan harga telur secara melampau mungkin tidak akan berlaku lagi.

Sementara itu, jelas Saifuddin, kementeriannya akan me­laksanakan kawalan harga telur menjelang perayaan Krismas ini menerusi pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan yang akan berlangsung selama lima hari.

“Kami sedang berbincang untuk memuktamadkan kadar harga telur yang munasabah bagi skim kawalan harga kali ini,” tambahnya.

Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan Suruhanjaya Persai­ngan Malaysia (MyCC) sedang bekerjasama dengan KPDNHEP bagi mengenal pasti sebarang elemen antipersaingan yang mungkin berlaku dalam pasaran telur ayam tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN