KUALA LUMPUR 12 Dis. – Aktiviti urus niaga korporat di Malaysia pada tahun ini menurun dengan ketara kepada AS$12.5 bilion (RM52.3 bilion) berbanding yang direkodkan tahun lepas, AS$20.3 bilion (RM84.9 bilion).
Ini melibatkan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A), ekuiti swasta, modal teroka (PE/VC) dan tawaran awam permulaan (IPO).
Firma penilaian dan penasihat global, Duff & Phelps mendapati keadaan itu disebabkan oleh perubahan politik dan pihak perniagaan yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap inisiatif pertumbuhan strategik.
Pengarah Urusan Duff & Phelps Singapore Pte. Ltd., Srividya C. Gopalakrishnan berkata, bagaimanapun, momentum meningkat apabila menuju akhir tahun dengan beberapa transaksi penting dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia seperti pengambilalihan 16 peratus kepentingan oleh Mitsui & Co dalam IHH Healthcare Bhd. sebanyak AS$2 bilion (RM8.4 bilion).
“Malaysia, Singapura dan Indonesia menyaksikan tahap aktiviti paras tinggi bernilai lebih AS$136 bilion (RM568.8 bilion) membabitkan 1,419 urus niaga, dengan lebih 15 transaksi bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.18 bilion) setiap satu.
“Pasaran M&A pula mengekalkan momentum pada 2018, pertumbuhan dipacu oleh peningkatan aliran keluar bernilai tinggi urus niaga dana kekayaan berdaulat (SWF) dari Singapura, disokong oleh aktiviti M&A domestik di rantau ini,” katanya dalam Laporan Transaksi Tahunan Duff & Phelps 2018.
Bagi nilai serantau, Singapura menyumbang sebanyak AS$106.2 bilion (RM444.2 bilion) menerusi 857 urus niaga, meningkat daripada AS$101.9 bilion (RM426.2 bilion) melibatkan 842 urus niaga pada 2017.
Beliau berkata, landskap urus niaga di Indonesia pada tahun ini adalah aktif.
“Nilai M&A, PE/VC dan IPO bagi 2018 di Indonesia naik lebih dua kali ganda kepada AS$19.5 bilion (RM81.6 bilion) berbanding AS$9.6 bilion (RM40.2 bilion) tahun lepas,” katanya.
Di peringkat global, sebanyak 39,651 urus niaga bernilai AS$3.5 trilion (RM14.6 trilion) dicatatkan bagi tempoh sama, berdasarkan data Bloomberg.
Menurut Duff & Phelps, aktiviti urus niaga M&A global meningkat pada 2018 dari segi nilai urus niaga tetapi menyaksikan penurunan dalam jumlah transaksi M&A berbanding pada 2017.
Kira-kira 41 peratus jumlah urus niaga global dan 50 peratus nilai urus niaga berlaku di Amerika Utara bagi 2018.
Asia Pasifik yang menyumbang 23 peratus nilai M&A global pada 2018 kekal menjadi penyumbang utama untuk mengatasi Eropah (22 peratus) walaupun ia lebih rendah berbanding pada 2017 apabila berkongsi 29 peratus nilai urus niaga.











