LONDON 30 Nov. – Liverpool akan menentang Everton, manakala, Tottenham bertandang ke Arsenal untuk dua aksi derby yang menjadi tumpuan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, hujung minggu ini.
Liverpool yang ditimpa kekalahan 1-2 kepada Paris Saint Germain (PSG) dalam kempen Liga Juara Juara, semalam, sudah pasti mahu merawat kelukaan hati dengan memburu kemenangan pada pertemuan itu.
Skuad bimbingan Jurgen Klopp yang tidak mempunyai pilihan melainkan menewaskan Napoli pada aksi terakhir peringkat kumpulan nanti, amat menyedari hanya kebangkitan dan kemenangan mampu menaikkan semula semangat mereka yang telah tercalar.
“Saya menjangkakan aksi sukar menentang Everton. Jangan bandingkan dengan keputusan musim lalu kerana Everton musim ini beraksi lebih baik. Mereka sebuah pasukan yang berbeza,” kata Klopp
Bagi Tottenham yang turut berdepan situasi sama walaupun menang 1-0 ke atas Inter Milan Khamis lalu, bertemu Arsenal adalah kesempatan terbaik untuk menambah keyakinan mereka kerana perlu mengalahkan Barcelona selepas itu jika berhajat ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara.
“Ini masa terbaik untuk bertemu Arsenal selepas mencatat enam kemenangan berturut-turut sebelum ini. Biarpun sukar, kami perlu bersedia kerana ia pasti sengit. Ini merupakan perlawanan yang penyokong dan kami mahu menang,” kata pemain tengah, Tottenham, Harry Winks.
Dengan kata lain, kedua-dua kelab perlu memberi tumpuan kepada aksi derby terlebih dahulu sebelum memikirkan perlawanan penentuan di peringkat Eropah pada 12 Disember ini pula.
Apa yang penting, pada ketika berdebar menanti nasib masing-masing di peringkat Eropah, Liverpool dan Tottenham juga tidak boleh leka untuk terus menghambat pendahulu liga, Manchester City yang semakin mengukuhkan kedudukan di persada liga. – AFP











