KUALA LUMPUR 8 Dis. – Desakan terhadap kerajaan seperti dalam perhimpunan #DaulatHimpunan812 menolak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan terus dilakukan selagi objektifnya belum dipenuhi.
Sekretariat Kedaulatan Negara dalam satu kenyataan menegaskan, himpunan hari ini bukan perjuangan politik sebaliknya adalah perjuangan rakyat.
Jelas sekretariat tersebut, perkara itu boleh dilihat apabila kebanyakan daripada ahli sekretariat sendiri bukan dalam kalangan ahli parti politik.
“Terima kasih yang menyokong dan hadir tadi. Tahniah kerana berlangsung aman sebagaimana yang diinginkan.
“Ingin diingatkan, objektif perhimpunan ini ada empat. Selagi belum dipenuhi, kita akan terus bekerja buat desakan pada kerajaan,” jelas sekretariat itu, hari ini.
Dalam pada itu, pihak sekretariat turut memohon maaf terhadap sebarang kekurangan yang berlaku sepanjang berlangsungnya perhimpunan. – UTUSAN ONLINE










