Aizat mahu pikat Dollah - Utusan Malaysia

Aizat mahu pikat Dollah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT 27 Dis. – Pemain muda Pahang, Muhammad Zuhair Aizat Mohd. Nazri mengintai peluang untuk berada dalam skuad utama Tok Gajah musim depan.

Pemain kelahiran Kuala Lipis itu berkata, dia perlu berusaha lebih kuat untuk memantapkan prestasi bagi memikat ketua jurulatih, Dollah Salleh.

“Tahun lalu saya diberi peluang tiga kali untuk mempamer aksi di atas padang, termasuk sekali dalam kesebalasan utama ketika menentang Melaka ­United.

“Sebagai pemain sayap, agak sukar untuk saya menempatkan diri dalam skuad utama kerana saingan hebat daripada pemain lain terutama Mohamadou Sumareh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Aizat, dia mempunyai keyakinan tinggi untuk beraksi dalam skuad utama musim depan setelah menilai prestasi semasa.

“Semua pemain ada peluang beraksi dalam skuad utama sekiranya mempamerkan aksi yang mantap dan saya akan berusaha ke arah itu,” ujarnya.

Tambahnya, beberapa siri perlawanan persahabatan yang akan dilalui sebelum bermula saingan Liga Malaysia musim depan akan dimanfaatkan sepenuhnya.

“Setakat ini saya menjaringkan satu gol ketika perlawanan persahabatan menentang ­Selangor United baru-baru ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN