Ahli politik perlu bersedia kerja secara sukarela - Utusan Malaysia

Ahli politik perlu bersedia kerja secara sukarela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Dis.- Ahli-ahli politik di negara ini sewajarnya perlu bersedia untuk berkhidmat secara sukarela tanpa mengharapkan apa-apa balasan atau imbuhan.

MOHD. ANUAR TAHIR
MOHD. ANUAR

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Anuar Mohd. Tahir menyifatkan, ahli politik bukan merupakan satu kerjaya yang mempunyai gaji jadi siapa sahaja yang menyertai bidang itu haruslah bersedia menjalankan tugas dengan sukarela dan tanpa imbuhan.

“Jadi cadangan supaya ketua bahagian dan ketua cawangan diberikan projek agak berlainan dengan norma biasa yang kita fahami. Jika semua pemimpin politik dapat jawatan, pekerjaan dan gaji maka hilanglah idealisme kita dalam perjuangan politik.

“Siapa sahaja yang masuk politik harus bersedia menanggung dan membebani susah payah dan berkorban apa sahaja untuk perjuangannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman semasa sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Kedua parti itu semalam bahawa ketua bahagian dan cawangan Bersatu diberikan projek kerajaan.

Namun begitu, cadangan Abdul Rashid tersebut dikecam dan ditolak oleh Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan sayap Bersatu itu tidak teragak-agak membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika perkara itu berlaku dalam parti tersebut.

Sementara itu, Mohd. Anuar yang juga merupakan Timbalan Menteri Kerja Raya menambah, alasan bagi memperoleh projek untuk meraih dan mempertahankan undi juga merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Itulah punca kerosakan yang berlaku kepada negara kita selama ini apabila orang politik mempunyai hubungan dengan orang yang berniaga. Orang politik menerima wang daripada orang berniaga dan wang itu digunakan untuk memajukan diri dan kumpulan ahli politik itu sendiri, ini yang seterusnya berlaku pembelian undi dan sokongan.

“Inilah yang disebut sebagai politik wang, perkara yang telah membelenggu landskap politik negara sekian lama. Ini dapat dibuktikan apabila rakyat membuat keputusan pada pilihan raya lalu bahawa mereka menolak semua ini,” katanya.

Ahli Parlimen Temerloh itu juga berkata, politik bukanlah tempat untuk mencari laba tetapi perlulah kekal dan mengikut lunasnya.

“Jika ini turut berlaku dalam PH maksudnya tiada beza dengan kerajaan dahulu dan oleh sebab itu saya tidak hairan banyak pihak yang turut membantah cadangan tersebut,” katanya.

//habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN