Agensi teknikal, utiliti digesa sokong pembangunan taman perindustrian - Utusan Malaysia

Agensi teknikal, utiliti digesa sokong pembangunan taman perindustrian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 17 Dis. – Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming menggesa agensi teknikal dan penyedia utiliti agar tampil kehadapan dan lebih proaktif menyokong pelabur dalam pembangunan taman perindustrian.

Dalam membuat seruan itu, beliau berkata, untuk menarik jenis pelaburan berkualiti yang dikehendaki, Sabah memerlukan taman perindustrian yang boleh memenuhi keperluan industri-industri ini.


Beliau berkata penting untuk mencari penyelesaian sama-sama menang dan tidak membuatkan pelabur terpaksa menunggu prasarana dibina terutamanya dalam penyediaan elektrik, air dan jalan kerana ini adalah keperluan infrastruktur asas bagi mana-mana industri untuk beroperasi.

“Sebagai contoh, untuk menjadikan Sabah sebagai hab aeroangkasa, taman perindustrian seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu perlu dipertingkatkan untuk membangunkan kluster industri aeroangkasa.


“Dengan adanya pemain industri huluan dan hiliran yang berdekatan akan menambah baik kepantasan dan kos pengeluaran,” katanya dalam ucapan beliau semasa majlis pelancaran Taman Perindustrian dan Forum Pemudahan Pelaburan, di sini, hari ini.

Ong berkata bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, Sabah terus menarik pelaburan dilulus tambahan sebanyak RM140.9 juta, terutamanya dalam produk logam asas, pembuatan makanan dan produk petroleum termasuk petrokimia dan produk mineral bukan logam.

Beliau berkata setakat Disember tahun lepas, sejumlah 761 projek pembuatan dengan pelaburan bernilai RM15.1 bilion dilaksanakan di Sabah.

“Lebih daripada 90,000 pekerjaan diwujudkan bagi projek-projek ini, terutamanya dalam sektor pembuatan makanan, kertas, pencetakan dan penerbitan, kayu dan produk kayu, kimia dan produk kimia, dan produk bukan logam,” katanya. 


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kanan Perancangan Strategik dan Pembangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Zabidi Mahbar berkata, MIDA akan terus menarik pelaburan asing dan domestik bukan hanya di Semenanjung Malaysia tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata Sabah sudah pastinya merupakan satu daripada destinasi pelaburan di Malaysia.

“Esok (Selasa) seramai 19 pelabur yang berminat dari 11 syarikat akan berkunjung ke Sabah untuk meneroka peluang yang ada dalam sektor minyak dan gas, logistik, perkhidmatan kejuruteraan, pembangunan prasarana dan perkhidmatan perundingan bagi pelan pengembangan mereka,” kata Zabidi.

Forum satu hari itu dihadiri oleh lebih 250 peserta daripada pelbagai bidang termasuk dewan perniagaan, pihak berkuasa tempatan, pemaju dan pengurus taman, syarikat utiliti, pengeluar dan pelabur berpotensi.-BERNAMA

 

 

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN