Afiq Afify gembira dapat perhatian Kerajaan Kelantan - Utusan Malaysia

Afiq Afify gembira dapat perhatian Kerajaan Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 19 Dis. – Jaguh lumba basikal kelahiran Kelantan, Muhammad Afiq Afify Rizan gembira apabila kejayaan dia mengharumkan nama negara dalam beberapa kejohanan besar dunia sejak tiga tahun lalu akhirnya mendapat perhatian dan pengiktirafan kerajaan negeri.

Pemegang rekod Asia dalam ujian masa 1 kilometer (KM) tandem itu turut menerima insentif daripada kerajaan negeri bersama 102 lagi atlet kelahiran Kelantan yang cemerlang dalam acara masing-masing dalam majlis khusus untuk mereka di Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.

Penyampaian insentif tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Muhammad Afiq Afify, 22, yang mempunyai masalah penglihatan berkata, sejak menceburi sukan lumba basikal pada 2015, dia mencipta pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara namun belum pernah mendapat pengiktirafan dari negeri kelahiran sendiri kecuali dari Majlis Sukan Negara (MSN).

Anak kelahiran Kemumim, di sini itu mengakui, dia pernah berasa terkilan kerana diri seolah-olah diabaikan di negeri sendiri sedangkan rakan-rakan atlet lain yang cemerlang terus-menerus mendapat perhatian serta imbuhan dari kerajaan negeri masing-masing.

“Rakan-rakan seperjuangan lain diraikan di negeri masing-masing, saya seorang sahaja tidak dapat apa-apa walaupun berjaya meraih pingat emas dalam Sukan Para ASEAN 2017, Sukan Para Asia 2018 serta beberapa kejohanan dunia lain.

“Alhamdulillah, sekarang kerajaan negeri sudah mula beri perhatian dan perkara ini sedikit sebanyak menjadi pembakar semangat untuk saya berusaha mencipta lebih banyak kejayaan, sekali gus mengharumkan nama negara dan Kelantan pada masa depan,” katanya.

Muhammad Afiq Afify turut memberitahu, dia dan jurumudinya, Khairul Adha Rasol kini sedang gigih berlatih bagi menghadapi dua kejohanan besar terdekat iaitu Terbuka Asia 2019 di Indonesia, bulan depan serta Kejohanan Dunia 2019 di Belanda, Mac depan.

“Saya berharap dapat meraih pingat dalam dua kejohanan itu nanti bagi membantu saya mengumpul sebanyak mungkin mata untuk melayakkan diri Sukan Olimpik 2020 di Jepun,” katanya.

Nama Muhammad Afiq Afify dan Khairul Adha mula meniti di bibir peminat sukan basikal negara selepas mereka meraih gangsa Kejohanan Berbasikal Para Dunia 2017, diikuti dua pingat emas dalam acara 1 KM serta pecut 200 meter di Sukan Para ASEAN 2017.

Pada Mac lalu, mereka berjaya memecahkan rekod Asia acara 1 KM ujian masa dalam Kejohanan Basikal Trek Para Dunia 2018 di Brazil apabila mencatat masa 1 minit 4.192 saat memadamkan rekod lama pelumba Jepun, Tatsuyuki Oshiro dan Yasufumi Ito dalam Sukan Paralimpik 2012 di London.

Mereka kemudiannya memecah rekod sendiri tersebut dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 apabila mencatat masa 1 minit 3.249 saat.

Dalam Suka Para Asia 2018 di Jakarta baru-baru ini, pasangan itu turut menghadiahkan pingat emas kepada negara menerusi acara sama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN