KLANG – Adinda kepada Sultan Selangor, Tengku Puteri Nor Zehan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, mendahului senarai 114 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena ulang tahun ke-73 Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Shaharafuddin Idris Shah, hari ini.
Tengku Puteri Nor Zehan yang juga Yang Dipertua, Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR) dikurniakan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (DK II).
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin; bekas Peguam Cara Negara II, Datin Paduka Zauyah T. Loth Khan dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Shahril Ridza Ridzuan merupakan penerima Darjah Kelas Pertama – Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) – yang membawa gelaran Datuk Seri bagi lelaki dan Datin Paduka Seri bagi wanita.
Sementara itu, Tengku Puan Indera Setia Selangor, Tunku Irinah Almarhum Tuanku Jaafar; Ahli Dewan di-Raja Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dan Pro Canselor Universiti Putra Malaysia, Tan Sri Lim Ah Lek @ Lim Mok Siang menerima Darjah Kebesaran Datuk Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) (Kelas Pertama) yang membawa gelaran Datuk Setia bagi lelaki dan Datin Paduka Setia bagi wanita.
Istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran itu berlangsung di Istana Alam Shah di sini. – Bernama










