KUALA LUMPUR 12 Dis. – UMNO mendapati wujud beberapa individu yang menjadi dalang untuk menarik ahli-ahli Parlimen UMNO keluar parti.
Hal itu telah disahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, tindakan itu gagal diduga parti di peringkat awal.
“Daripada apa yang kami perhatikan, ada tindakan yang dilakukan beberapa individu, namun kita tidak dapat menelah apa tindakan-tindakan terakhir yang akan dilakukan mereka.
“Tetapi, kita harus sedar, politik bukan statik, jumud atau beku, sebarang kemungkinan akan berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Yang turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. – UTUSAN ONLINE











