KUALA LUMPUR 31 Dis. – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong pendirian Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membidas budaya meminta kontrak atas dasar kronisme parti politik dalam Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pendirian sayap Armada itu adalah cerminan kepada aspirasi generasi muda yang muak dengan amalan memperalatkan politik untuk kepentingan peribadi.
“Kenyataan ini seharusnya menjadi peringatan bahawa pemilihan parti ini pada Pilihan Raya Ke-14 lalu adalah untuk memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat agar keperluan dan kebajikan mereka terpelihara.
“Rakyat sedang memerhati serta menilai semua komponen Pakatan Harapan berkaitan isu pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Jika tidak dibaiki pasti akan mengundang hukuman berat oleh rakyat dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE









