ANKARA 13 Dis. – Seramai sembilan terbunuh manakala hampir 50 yang lain cedera termasuk tiga kritikal selepas sebuah tren laju bertembung dengan lokomotif sebelum merempuh platform stesen di Stesen Kereta Api Marsandiz, dekat sini hari ini.
Kejadian berlaku sekitar pukul 6.30 pagi waktu tempatan ketika tren laju itu dalam perjalanan dari Ankara ke Konya.
Ketika kejadian, kawasan sekitar stesen itu dilitupi salji.
Menteri Pengangkutan, Cahit Turhan berkata, tiga yang terkorban dikenal pasti sebagai pemandu tren berkenaan.
Jelasnya, mereka yang cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Terdahulu, Gabenor Ankara, Vasip Sahin berkata, kejadian berpunca daripada tren laju tersebut yang melanggar lokomotif yang sedang melakukan pemeriksaan landasan.
“Tidak dapat dipastikan kelajuan tren terbabit ketika kejadian berlaku,” katanya.
Rakaman video juga menunjukkan pekerja kecemasan di lokasi berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah serpihan besi di stesen kereta api berkenaan.
Agensi berita Anadolu melaporkan, terdapat 206 penumpang di dalam tren berkelajuan tinggi tersebut. – afp/reuters











