WASHINGTON 22 Dis. – OOperasi di beberapa agensi dan pejabat kerajaan Amerika Syarikat (AS) sekali lagi melalui krisis shutdown atau penutupan selepas sidang Kongres ditangguhkan tanpa meluluskan rang undang-undang (RUU) perbelanjaan Persekutuan serta ‘melayani’ permintaan Presiden Donald Trump untuk pembiayaan pembinaan tembok sempadan.
Operasi tersebut ‘terganggu’ tengah malam semalam walaupun perbincangan terakhir berterusan di Capitol Hill antara pegawai-pegawai White House dan pemimpin Kongres kedua-dua parti.
Trump menuntut pembiayaan sebanyak AS$5 bilion (RM20.9 bilion) untuk pembinaan tembok di sempadan AS dengan Mexico.
Tuntutan itu ditentang keras oleh Demokrat dan ketiadaan kesepakatan bermakna dana Persekutuan untuk pelbagai agensi kerajaan ‘luput’ tengah malam semalam.
Krisis shutdown tersebut merupakan kejadian kali ketiga untuk tahun ini dan masih tidak jelas berapa lama akan berlanjutan.
Trump sebelumnya menyatakan kejadian itu tidak akan berlanjutan untuk satu tempoh yang lama selepas mendakwa ‘sudah bersedia’ dengan keadaan tersebut.
Beliau turut menyalahkan penentangnya iaitu Demokrat dalam krisis terbaharu itu.
Situasi tersebut dilihat pelbagai pihak sebagai sesuatu yang kurang baik kerana kira-kira 800,000 kakitangan kerajaan terpaksa bekerja tanpa gaji dalam jangka masa cuti perayaan Krismas.
Tetapi situasi buruk yang melanda kakitangan berkenaan seakan tidak diendahkan Kongres dan Presiden untuk bertindak.
Dewan Perwakilan ditangguhkan sebelum pukul 7 malam semalam waktu tempatan, tanpa langkah yang diambil untuk mengelak daripada berlakunya penutupan dan Senat dilihat ‘tutup kedai’ sejam kemudian.
Kira-kira tiga perempat daripada sektor kerajaan, termasuk tentera dan Jabatan Kesihatan serta Perkhidmatan Sumber Manusia, dibiayai sepenuhnya sehingga akhir September 2019, dan tragedi shutdown menyebabkan 25 peratus daripadanya berdepan masalah kos operasi.
Selain itu kebanyakan petugas Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) juga terjejas akibat penutupan operasi kerajaan selain Jabatan Perdagangan; Jabatan Keselamatan Dalam Negeri; Jabatan Kehakiman; Jabatan Pertanian dan Jabatan Negara.
Dalam perkembangan lain, Bloomberg yang memetik sumber sebagai berkata, Trump didakwa telah membincangkan untuk memecat Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell.
Kekecewaan Trump terhadap Ketua Bank Pusat AS itu memuncak selepas kenaikan kadar faedah dan pasaran saham yang merudum.
Jurucakap White House enggan mengulas mengenai perkara tersebut. – AFP/REUTERS









