SUBANG JAYA – Seramai 58 individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan di perkarangan Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ 25, di sini.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tangkapan terbahagi kepada beberapa pecahan kaum iaitu 38 Melayu, 18 India serta dua Cina dan kesemua mereka masih di dalam siasatan pihak polis.
“Beberapa individu yang telah dikenal pasti kini sedang giat diburu oleh pihak polis dan setakat ini sebanyak 5,000 laporan polis telah diterima di seluruh negara berhubung kejadian rusuhan rusuhan sebelum ini.
“Keadaan di sekitar kawasan kuil kini juga bertambah baik malah polis turut meletakkan anggota termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di lokasi untuk berkawal 24 jam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar selepas melawat kawasan kuil berkenaan di sini hari ini sambil diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.
Mengulas lanjut berhubung keadaan terkini anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, yang dilaporkan kritikal selepas dipukul oleh sekumpulan perusuh, Muhyiddin mendedahkan bahawa seorang individu telah tampil bagi membantu siasatan.
“Namun setakat ini masih belum ada sebarang perkembangan terperinci,” jelasnya.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy, Muhyiddin menegaskan bahawa ia terserah kepada pihak polis.
“Sekiranya ada asas untuk menahan beliau, tidak kira siapa pun dia sama ada menteri atau orang biasa, saya tidak perlu keluar arahan.
“Sekiranya kenyataan telah dikeluarkan, ia akan diteliti oleh pihak polis sama ada melibatkan isu perkauman, hasutan atau sebagainya sebelum sebarang tindakan diambil,” tegas beliau. – K! ONLINE










