MERBOK 10 Dis. – Seramai 53 orang anak yatim di Pusat Jagaan Permata Kasih Taman Seri Mengkuang, Permatang Pauh, Pulau Pinang, dipilih menerima beg dan peralatan sekolah sempena Program Gembirakan Hatiku 2018 di The Carnival Waterpark Persiaran Kelab Cinta Sayang di Taman Ria Jaya, Sungai Petani di sini, semalam.
Pengerusi Gerakan Belia 4B Kawasan Permatang Pauh, Mohd. Hilmi Elias berkata, selaku penganjur, pihaknya telah memilih murid dari beberapa buah sekolah kebangsaan (SK) di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) untuk menerima bantuan itu.
“Terima kasih kepada pelbagai pihak kerana sanggup menghulurkan dana bagi membantu anak-anak yatim susah yang tinggal di Pusat Jagaan Permatang Kasih itu.
“Terima kasih juga kepada pihak pengurusan The Carnival Waterpark Sungai Petani kerana membenarkan murid sekolah itu untuk masuk secara percuma bagi menjalankan aktiviti mulai pukul 12 tengah hari hingga pukul 5 petang,” katanya ketika ditemui di sini.
Yang turut hadir Penolong Pengurus Operasi Waterpark Sungai Petani, Hishamuddin Muda.
Mohd. Hilmi memberitahu, pihaknya berharap terdapat pihak lain yang akan tampil untuk menghulurkan bantuan sama menjelangnya sesi persekolahan akan datang. – UTUSAN ONLINE










