50,000 penyokong Pas Kedah, Perlis dijangka sertai himpunan ICERD - Utusan Malaysia

50,000 penyokong Pas Kedah, Perlis dijangka sertai himpunan ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 3 Dis. – Kira-kira 50,000 rakyat negeri ini khususnya penyokong Pas bakal menyertai perhimpunan aman bagi meraikan penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

AZIZAN HAMZAH
AZIZAN HAMZAH 

Pengerusi Mobilisasi Pas negeri, Azizan Hamzah memberitahu, para peserta dijangka bertolak ke Kuala Lumpur bagi menghadiri himpunan bersejarah kebangkitan umat Islam tanpa mengira fahaman politik itu bermula Jumaat ini.

Sehubungan itu, beliau berharap para peserta supaya berhati-hati sepanjang perjalanan selain mematuhi peraturan dan nasihat yang digariskan pihak penganjur bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku pada perhimpunan nanti.

“Ahli Pas sahaja kita anggarkan lebih 30,000 orang yang mengambil inisiatif seperti menaiki bas, kereta, kereta api dan konvoi motosikal ke perhimpunan itu.

“Malah puluhan ribu lagi terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat negeri ini akan bersama-sama menyertai perhimpunan berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.


Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengeluarkan arahan kali kedua kepada semua ahli parti itu supaya menyatakan komitmen untuk hadir pada perhimpunan aman meraikan penolakan ratifikasi ICERD.

Surat arahan itu diberikan kepada setiausaha badan perhubungan Pas negeri-negeri, setiausaha dewan-dewan Pas pusat dan setiausaha Pas kawasan di seluruh Malaysia.

Sementara itu, Pas Perlis juga memberi jaminan bahawa ribuan penyokongnya akan menghadiri perhimpunan tersebut.

Pesuruhjayanya, Mohd. Shukri Ramli berkata, rakyat di negeri ini juga diseru untuk hadir pada perhimpunan itu nanti bagi menyatakan bantahan terhadap ICERD.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN