5 pertubuhan kebajikan terima sumbangan RM25,000 - Utusan Malaysia

5 pertubuhan kebajikan terima sumbangan RM25,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU 10 Dis. – Sebanyak RM25,000 disalurkan kepada lima pertubuhan kebajikan di negeri ini sempena Kejohanan BDB Masters and Charity Golf 2018 yang berlangsung di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Jitra dekat sini, semalam.

Sumbangan berkenaan yang dikumpulkan melalui perlawanan amal sempena kejohanan tersebut disampaikan kepada Maahad Tahfiz Ehsan Al-Khairi dan Wanita Perkim Cawangan Alor Setar.

Turut menerima sumbangan masing-masing berjumlah RM5,000 adalah Pertubuhan Wanita Prihatin Kubang Pasu, Buddhist Tzu Chi Merits Society Malaysia dan Pusat Jagaan Insan Kesayanganku Jitra.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bina Darulaman Bhd. (BDB), Mohd. Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, BDB mengenal pasti pertubuhan-pertubuhan kebajikan itu berdasarkan keperluan dan keupayaan kewangan mereka.

“Baki daripada kutipan tersebut pula akan dimasukkan ke dalam tabung khas bagi membantu sekiranya berlaku bencana alam serta golongan yang memerlukan bantuan pada masa akan datang.

“Biar pun jumlah sumbangan berkurangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, namun Kumpulan BDB percaya usaha dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini akan terus dilakukan pada tahun-tahun hadapan dan mendapat kerjasama dengan agensi lain bagi membolehkan lebih banyak pertubuhan kebajikan dapat dibantu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Ir. Zamri Yusuf menyampaikan sumbangan tersebut sempena Majlis Penutup Kejohanan BDB Masters and Charity Golf 2018.

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan BDB, Datuk Rasli Basir dan Pengerusi BDB Darulaman Golf Resort Bhd., Datuk Tunku Aziz Bendahara Tunku Nong.

Sementara itu, seramai 150 penyertaan diterima dalam kejohanan tersebut yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM30,000. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN