MARANG 12 Dis. – Seramai 4,200 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kalangan keluarga berpendapatan kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang menerima Bantuan Awal Persekolahan 2019 Kampung Darat Pak Chan di sini hari ini.
Bantuan bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita pertama Terengganu, Zuraida Md. Noor.
Zuraida berkata, kerajaan Pas Terengganu meneruskan pemberian dana yang sudah menjadi tradisi tahunan semasa kerajaan terdahulu itu dengan memperuntukkan RM12 juta bagi sesi persekolahan tahun depan membabitkan keseluruhan 116,000 pelajar.
Katanya, adalah menjadi dasar kerajaan negeri untuk mengkaji mana-mana program sedia ada, samada akan diteruskan atau sebaliknya.

ZURAIDA MD NOOR (dua dari kiri) menyerahkan beg sekolah kepada seorang pelajar dalam Majlis Pemberian Dana Bantuan Persekolahan peringkat DUN Rhu Rendang di Dewan Sivik, Darat Pak Chan, Seberang Marang, hari ini. – UTUSAN ONLINE
“Jika program tersebut dilihat baik dan memberi manfaat kepada rakyat maka kita akan teruskan sebagaimana dilaksanakan pada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Dana Bantuan Persekolahan peringkat DUN Rhu Rendang di Dewan Sivik, Darat Pak Chan di sini hari ini.
Yang hadir sama Penolong Pengarah Unit Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd. Aswadi Mohamad.
Zuraida yang mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan ADUN Wanita pertama Terengganu yang dilantik pada November lalu dan beliau juga adalah Setiausaha Dewan Muslimat Pas Kuala Terengganu.
Menurut Zuraida, dalam program yang diadakan mulai 10 hingga 16 Disember itu pelajar terpilih bakal menerima bantuan seperti beg sekolah, stokin, kasut, kain, baju dan tudung.
“Bentuk bantuan kali ini juga telah ditukar daripada wang tunai kepada baucar di mana ibu bapa atau pelajar yang ingin mendapatkan kelengkapan tersebut boleh menebusnya di premis-premis ditetapkan di setiap kawasan DUN masing-masing.
“Kita mengharapkan melalui pemberian bantuan dana ini akan membantu meringankan bebanan ibu bapa untuk membuat persiapan persekolahan bagi sesi 2019 nanti, khususnya mereka yang berhadapan kekangan kewangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











