KUALA LUMPUR 30 Dis. – Usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tidak boleh dinafikan kerana pelbagai usaha dibuat demi mencurahkan bakti kepada masyarakat dengan mengadakan pelbagai program termasuk rumah Baiti Jannati kepada mereka yang memerlukan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata, usaha ini dilakukan bagi membantu menangani masalah kemiskinan.
“Program ini merupakan antara satu penyelesaian dalam membantu menangani kemiskinan bandar di ibu negara dan kita tidak mahu golongan ini terpinggir.” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Rumah Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan di sini baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta Ketua Pegawai Korporat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Wira Roslan Ab. Rahman.
Dalam majlis tersebut, Shahruddin menyerahkan replika kunci rumah kepada 40 penerima projek Baiti Jannati peringkat Wilayah Persekutuan bagi tahun ini.
Projek Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku merupakan satu program CSR bagi menzahirkan saranan kerajaan supaya syarikat milik kerajaan (GLC) seperti TNB membantu kerajaan membaiki rumah kediaman golongan sasaran yang memerlukan, antaranya orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin.
Selain itu, syarikat utiliti negara juga memainkan peranan dalam memberi kesejahteraan dan mengutamakan rakyat iaitu golongan yang memerlukan.
Program rumah Baiti Jannati ini merupakan komitmen TNB sebagai organisasi yang prihatin, selaras dengan asipirasinya menjadi Good Corporate Citizen.










