ROMPIN 9 Dis. – Hasrat seorang akauntan, Mohamad Syahmi Emir Mohd. Rawi, 24, untuk membina banglo di luar negara dan membawa isterinya, Nur Diana Afifah Hasnulhady, 24, serta keluarga menetap di situ tidak kesampaian apabila pasangan itu maut di Kilometer 131.20, Jalan Kuantan-Johor Bahru berdekatan Kuala Rompin di sini hari ini.
Kemalangan kira-kira pukul 1.30 pagi itu berlaku apabila kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki pasangan pengantin baharu berkenaan bertembung dengan sebuah bas ekspres.
Selain pasangan yang baru sebulan berkahwin itu, turut maut dalam kemalangan ngeri tersebut ialah anak saudara mereka yang juga adik-beradik, Yasmin Afiqah Hazemi, 14, serta Yasmin Aliah, 12.
Bapa Mohamad Syahmi Emir, Mohd. Rawi Manap, 50, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh adik iparnya, Fauziah Md. Bajuri berhubung kejadian yang menimpa anaknya.
‘‘Saya terkejut apabila Fauziah menelefon dan maklumkan mengenai kejadian itu. Di hospital, anak bongsu saya, Mohamad Shahir Emir, 20, memberitahu, Perodua Viva yang berada di belakang Toyota Vios dipandunya dirempuh bas ekspres secara tiba-tiba.
‘‘Kali terakhir saya bergurau dengan Mohamad Syahmi Emir ialah sehari sebelum kejadian. Dia memberitahu keinginan untuk bina banglo di luar negara dan bawa isteri serta keluarga tinggal di sana,’’ katanya di sini hari ini.
Rawi memberitahu, anak dan menantunya bertolak ke Muadzam Shah, Rompin pada pagi semalam bersama lima ahli keluarga yang lain menaiki dua kereta untuk menghantar barang milik Mohamad Shahir Emir yang belajar di Politeknik Muadzam Shah, Rompin.
‘‘Selepas itu, anak dan menantu saya ditemani dua anak saudara mereka bertolak ke Kuantan kerana hendak bersiar-siar di Teluk Cempedak,’’ katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Azly Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati, bas ekspres dari arah Kuantan ke Johor Bahru itu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Viva di lokasi kejadian.
‘‘Kedua-dua kenderaan terseret sejauh lebih kurang 30 meter dan jatuh ke dalam parit,’’ katanya.










