KOTA KINABALU – Polis Sabah kini menyiasat misteri kehilangan seorang tekong dan tiga nelayan di lokasi berhampiran kejadian serangan ke atas sebuah bot tunda yang didalangi oleh empat lelaki bersenjata dalam kejadian di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan dekat sini, 5 Disember lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Maamah berkata, kejadian itu disedari selepas pemeriksaan oleh pasukan keselamatan ke atas sebuah bot nelayan dengan enjin masih hidup mendapati tiada seorang pun berada di atas bot berkenaan.
Katanya, bot nelayan berkenaan ditemui berdekatan kejadian bot tunda Magtrans II yang ditembak empat lelaki bertopeng pada Isnin lalu sehingga menyebabkan seorang juragan parah.
“Pada masa yang sama, polis turut menerima laporan daripada pemilik syarikat bot nelayan itu yang memaklumkan seorang tekong dan tiga nelayannya telah hilang.
“Kesemua nelayan terbabit berusia 19 antara 40 tahun dengan dua daripadanya merupakan warga asing,” katanya selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini semalam.
Menurut beliau, pihaknya buat masa ini tidak dapat mengesahkan kedudukan kesemua mangsa sama ada mereka diculik ataupun telah melarikan diri.
“Saya tidak berani menyatakan bahawa mereka telah diculik sehingga ada pengesahan. Cuma memang ada laporan diterima daripada syarikat bot nelayan yang mengatakan bahawa empat pekerjanya hilang daripada bot.
“Polis juga tidak dapat pastikan sama ada bot tunda itu diserang terlebih dulu sebelum empat lelaki itu hilang,” jelasnya
Ujar Omar, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang panggilan daripada mana-mana pihak yang membuat tuntutan.
Mengulas mengenai keadaan seorang juragan yang ditembak pada Isnin lalu, beliau berkata pihaknya masih menyiasat sama ada penyerang berkenaan datang dari arah daratan atau dari sempadan perairan negara jiran Filipina.
Bagaimanapun katanya, bot laju empat enjin yang digunakan suspek yang semuanya memakai topeng muka itu tidak sama dengan bot-bot yang digunakan penjenayah-penjenayah sebelum ini.
Dalam kejadian Isnin lalu, seorang juragan sebuah bot tunda dikenali sebagai Didy Saviady, 40-an yang dalam perjalanan ke Papua New Guinea dari Bintulu, Sarawak cedera pada paha kiri selepas terkena tembakan yang dilepaskan empat lelaki bersenjata dalam cubaan rompakan.










