GUA MUSANG 14 Dis. – Tiga kakitangan Jabatan Kesihatan negeri terkandas lebih 10 jam di kawasan hutan di Kampung Serasah, Pos Bihai, di sini, selepas laluan utama yang merupakan jalan balak rosak akibat hujan lebat, semalam.
Difahamkan, Rusdi Nor, 57, Abdul Basir Ahmad, 48, dan Mohd. Ruswadi Ab. Hamid, 38, masuk ke kawasan berkenaan untuk menjalankan tugas mereka sebagai pegawai kesihatan di perkampungan Orang Asli sejak tiga hari lalu.
Ketika dalam perjalanan keluar dari kawasan itu, hujan lebat menyebabkan jalan balak rosak teruk sehingga mereka terkandas di kawasan hutan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan II Hasri Hussin berkata, pihaknya segera melakukan operasi menyelamat selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4 petang.
Katanya, pasukan penyelamat tiba di lokasi mangsa terkandas pada pukul 8.31 malam dan berjaya mengeluarkan mereka pada pukul 10.34 malam.
“Kumpulan tersebut cuba keluar dari hutan berkenaan namun gagal berikutan laluan balak rosak.
“Ketika mereka dijumpai, mereka sudah tidak bermaya selain cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, operasi tersebut turut dilakukan oleh 12 anggota polis, bomba dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Dua mangsa yang mengalami masalah kesihatan telah dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda bomba dan seorang lagi mangsa dibawa keluar menggunakan kenderaan polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE










