JOHOR BAHRU 10 Dis. – Seramai tiga peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas pertuduhan memberi rasuah kepada penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) secara berasingan pada bulan Julai, September dan Oktober lalu.
Tertuduh, Tong Nye Lee, 55, mengaku salah manakala Tan Chau Chuan, 42, dan Toh Jenn Shyang, 38, tidak mengaku salah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Hakim Ahmad Jailani Abdul Rahman menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda sebanyak RM10,000 ke atas Nye Lee selain mengarahkan lelaki itu menjalani penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Mahkamah mengarahkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin ke atas Chua Chuan dan Jehn Shyang.
Mengikut kertas pertuduhan, Nye Lee didakwa secara rasuah memberi suapan sebanyak RM500 kepada pembantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) supaya tidak diambil tindakan kerana berniaga tanpa lesen di Jabatan Penguatkuasa MPK, Kluang pada pukul 3.15, 16 Oktober 2018.
Chau Chuan pula dituduh memberi rasuah RM2,080 kepada penguatkuasa MPK supaya tidak diambil tindakan kerana mempamer iklan tanpa lesen di tempat yang sama pada pukul 3.30 petang, 23 September 2018.
Sementara Jehn Shyang didakwa memberi rasuah sebanyak RM5,100 kepada penolong penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKHEP) Putrajaya supaya tidak dikenakan tindakan kerana menyimpan baja tanpa lesen.
Perbuatan itu didakwa dilakukan Jehn Shyang dalam gudang beralamat Lot 14477, Kampung Kebun Sayur, Bakri, Muar pada pukul 10.20 pagi, 6 Julai lalu. – UTUSAN ONLINE










