IPOH 22 Dis. – Kerajaan negeri menghargai keprihatinan kerajaan Persekutuan yang meluluskan Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil getah Risda berjumlah RM600 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantuan itu akan memberi manfaat langsung kepada 24,469 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negeri ini yang terjejas akibat musim tengkujuh.
Katanya, kerajaan negeri juga menyokong langkah kerajaan menaikkan harga lantai getah skrap daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram mulai Januari depan.
“Kedua-dua pengumuman ini jelas membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kesulitan yang dihadapi oleh para pekebun kecil dan penoreh akibat kejatuhan komoditi getah dan ditambah pula dengan musim tengkujuh.
“Kerajaan negeri berharap bantuan ini akan membantu meringankan beban para pekebun kecil dan penoreh,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Faizal, pengumuman itu adalah pelengkap kepada beberapa inisiatif kerajaan negeri dalam meringankan bebanan rakyat yang memerlukan, khususnya ibu bapa yang membuat persiapan untuk sesi persekolahan 2019 untuk anak-anak mereka.
Kata beliau, ini dijayakan melalui ‘Program Kembali Ke Sekolah’ yang mana kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.5 juta kepada Yayasan Perak.
“Peruntukkan tersebut untuk menyediakan 10,000 set kelengkapan mengandungi beg sekolah, pakaian sekolah dan alat tulis bagi golongan pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan seluruh negeri.
“Kerajaan negeri juga menghargai sumbangan daripada pihak swasta dan badan korporat yang turut membantu memberi sumbangan untuk program ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










