JEMPOL 11 Dis. – Seramai 23 penagih dadah ditahan polis dalam ‘Op Sarang Khas’ di tiga kawasan ladang kelapa sawit di daerah ini semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, operasi itu disertai 55 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.
Menurut beliau, dalam operasi bermula pukul 10 malam itu, seramai 10 lelaki ditahan di sebuah ladang kelapa sawit yang dikenali sebagai ‘Pot Mata Kucing Dalam’.
“Hasil pemeriksaan mendapati salah seorang daripada lelaki berusia 42 tahun memiliki 60 gram dadah jenis heroin. Dua lagi lelaki berusia 36 dan 37 tahun memiliki dadah yang sama seberat 10.96 gram.
“Ketiga-tiga tokan dadah itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(2) dan 39A(1) ADB 1952,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan di dua lagi ladang kelapa sawit, pihak polis telah memberkas 13 penagih dadah.
Ujarnya, daripada 23 lelaki yang ditahan dalam operasi itu, enam didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala 17 lagi positif morfin dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. – UTUSAN ONLINE









