KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 pemandu lori diberikan notis atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Bersih di Lebuhraya Taman Connought di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Azman Mahmood berkata, operasi tersebut dijalankan bagi memastikan kesemua pemandu lori mempunyai permit mengangkut barang selain memastikan keadaan lori berada dalam keadaan bersih.
“Operasi berkenaan dijalankan pada pukul satu petang dengan kekuatan anggota seramai 13 orang.
“Menerusi operasi tersebut, sebanyak 21 buah notis di bawah Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan telah dikeluarkan atas kesalahan keadaan lori dan tayar tidak bersih,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Tambah Azman, pihaknya akan terus komited dalam menjalankan operasi berkenaan pada masa hadapan bagi memastikan setiap pemandu lori mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. – K! ONLINE










