ISKANDAR PUTERI 2 Dis. – Sebanyak 205,549 akaun pengguna di negeri ini layak mendapat pemberian 10 meter padu air percuma bermula September lalu sebelum meningkat kepada 205,926 akaun pengguna pada Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, peningkatan akaun itu adalah disebabkan permohonan baharu yang diterima.
Menurutnya, kos pelaksanaan pemberian air percuma itu bagi September dan Oktober masing-masing adalah RM1,299,319.60 dan RM1,315,914.22.
“Kira-kira 830,000 orang di seluruh negeri mendapat manfaat daripada pelaksanaan pemberian air percuma ini setiap bulan.
“Mekanisme pelaksanaan pemberian air percuma ini secara automatik kepada penerima Bantuan Sara Hidup 2018, manakala bukan penerima boleh membuat rayuan,” katanya menjawab soalan dikemukakan Abd. Taib Abu Bakar (BN-Machap).
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Jimmy berkata, perlu difahamkan penerima yang layak mendapat air percuma 10 meter padu adalah bagi penggunaan air bulanan 35 meter padu dan ke bawah sahaja.
“Ini bertujuan mendidik pengguna untuk menggunakan air secara berhemah, namun bagi isi rumah yang besar, mereka boleh kemukakan rayuan,” katanya.










