KUALA LUMPUR 17 Dis. – Jabatan Peguam Negara hari ini memfailkan pertuduhan jenayah bagi kesalahan di bawah undang-undang sekuriti terhadap anak syarikat bank pelaburan Goldman Sachs di sini.
Pertuduhan itu turut melibatkan pekerja utama syarikat itu, Tim Leissner dan Roger Ng Chong Hwa, bekas pekerja 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan dan Low Taek Jho.
Peguam Negara, Tommy Thomas menerusi kenyataan berkata, pertuduhan yang dikemukakan itu berkaitan persubahatan dalam hal membuat penyataan palsu atau mengelirukan kesemua tertuduh bagi menggelapkan RM11.3 bilion (AS$2.7 bilion).
“Jumlah itu adalah daripada hasil tiga bon yang dikeluarkan oleh anak syarikat 1MDB serta yang diatur dan ditaja jamin oleh syarikat Goldman Sachs.
“Leissner dan Roger Ng dipercayai bersubahat dengan Jho Low, Jasmine (bekas penasihat undang-undang 1MDB ketika itu) dan lain-lain untuk menyogok penjawat awam negara ini bagi mendapatkan pemilihan, penglibatan dan penyertaan Goldman Sachs dalam penerbitan bon tersebut,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, Tommy berkata, syarikat itu mendapat manfaat melalui penerimaan yuran taja jamin dan pengaturan sebanyak kira-kira RM2.5 bilion (AS$600 juta) yang berkali ganda lebih tinggi daripada kadar pasaran.
“Selain menerima secara peribadi sebahagian daripada hasil bon yang digelapkan, pekerja dan pengarah syarikat itu turut menerima bonus yang besar selain peningkatan prospek kerjaya serta dalam industri perbankan pelaburan,” jelasnya.
Oleh itu, Tommy menegaskan, kesemua dakwaan serta pertuduhan itu merupakan pelanggaran serius undang-undang sekuriti di negara ini dan pihak pendakwaan akan menuntut denda jenayah terhadap tertuduh melebihi RM11.3 bilion (AS$2.7 bilion) dan hukuman penjara maksimum 10 tahun.










