19 warga Myanmar mangsa pemerdagangan orang diselamatkan - Utusan Malaysia

19 warga Myanmar mangsa pemerdagangan orang diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 9 Dis. – Seramai 19 warga Myanmar termasuk tiga wanita diselamatkan polis selepas dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Teratai, Mak Mandin, Butterworth di sini.

Kesemua mereka diselamatkan sepasukan polis dalam operasi pukul 11 pagi tadi selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket yang didalangi rakan senegara terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita.

Ketika diselamatkan, kesemua mereka dikurung di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan dalam keadaan bergelimpangan, tidak terurus dan tidak bermaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kesemua mereka diselamatkan menerusi Ops Pintas yang digerakkan hasil risikan pihaknya dan menerusi maklumat awam.

“Kesemua mangsa berumur antara 19 hingga 50 tahun dan mereka dikurung di dalam rumah teres tersebut yang dipercayai sebagai transit sebelum dikerah bekerja di mana-mana lokasi.

“Tiga rakan senegara mereka yang ditahan pula disyaki bertindak sebagai tekong darat atau penjaga dan masing-masing berusia antara 35 hingga 45 tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, dalam operasi itu pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM1,818 serta barangan lain seperti telefon bimbit, buku nota dan kunci.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26(A) Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala mangsa disiasat mengikut Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN