BANGKOK – Tujuh belas daripada keseluruhan 129 penjenayah dari wilayah selatan Thai di Narathiwat yang dilaporkan bersembunyi di Malaysia, dikehendaki pihak berkuasa Thai atas kesalahan berkaitan keselamatan.
Tujuh belas penjenayah itu dikehendaki kerana pelbagai jenayah berkaitan keselamatan termasuk terlibat dengan konflik bersenjata di empat wilayah selatan Thailand di Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkla.
Konflik di selatan Thailand itu sudah mengorbankan lebih 6,500 nyawa sejak 2004.
“Tujuh belas suspek dikehendaki itu yang melibatkan 22 waran tangkap tertangguh terhadap mereka dengan kesemuanya terbabit dengan kesalahan berkaitan keselamatan,” kata sumber berpangkat tinggi Thai yang enggan dikenali memberitahu Bernama, baru-baru ini.
Selain 17 suspek berkaitan dengan kesalahan keselamatan itu, 112 lagi penjenayah dikehendaki pihak berkuasa Narathiwat, terlibat dengan jenayah kurang serius seperti tidak hadir kerahan tentera, penyalahgunaan dadah dan jenayah kecil lain, katanya.
Sumber berpangkat tinggi itu memberi respons terhadap artikel berita disiarkan media Malaysia baru-baru ini, memetik Ketua Polis Wilayah Narathiwat Mejer Jeneral Dusadee Choosankij yang mendakwa 129 penjenayah daripada wilayah itu kini bersembunyi di Malaysia.
Ketua polis itu mendakwa penjenayah dikehendaki tersebut melarikan diri ke Malaysia menggunakan ‘jalan tikus’ di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Wilayah Narathiwat di selatan Thailand berkongsi sempadan dengan Kelantan.
Dalam artikel berita itu, Dusadee juga berkata, pihaknya memohon kerjasama daripada rakan sejawat mereka dari Malaysia bagi mengesan penjenayah dikehendaki itu.
Sementara itu sumber berpangkat tinggi itu memberitahu Bernama bahawa berdasarkan maklumat diperoleh daripada keluarga 129 penjenayah tersebut, menyatakan mereka melarikan diri ke Malaysia untuk mencari kerja. – Bernama










