KUALA LUMPUR – Seramai 163,000 individu di daerah ini dilaporkan telah berdaftar dengan Aplikasi Sistem Volunteer Smartphone Patrol (VSP) sejak dilancarkan pada Mac tahun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, aplikasi berkenaan dilancarkan sejajar dengan perkembangan teknologi terkini dimana pengguna dapat menyalurkan maklumat berhubung kejadian jenayah dengan lebih cepat berbanding kaedah sedia ada.
“Sebelum ini, orang ramai boleh melaporkan kejadian jenayah menerusi panggilan telefon namun dengan adanya aplikasi ini pengguna mampu menyalurkan maklumat dengan lebih tepat dan cepat kepada pihak polis.
“Ini secara tidak langsung mampu memudahkan anggota polis tiba di lokasi kejadian dalam tempoh tidak kurang daripada 15 minit,” katanya selepas Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Sunway Velocity di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun memberitahu, jumlah pengguna yang berdaftar memberi aduan berhubung kejadian jenayah menerusi aplikasi VSP tersebut masih berada di tahap yang rendah.
“Saya harap pengguna dapat memanfaatkan aplikasi VSP ini dalam membantu pihak polis memerangi jenayah di kawasan sekitar ibu negara.
“Kejayaan polis adalah hasil maklumat orang ramai sebagai contoh kejadian samun di sebuah pasar raya di Kuchai Lama, polis bertindak hasil maklumat ini dan berjaya menumpaskan suspek,” katanya.
Tambahnya, identiti pengguna yang memberi maklumat menerusi aplikasi VSP atau secara terus kepada pihak polis akan dilindungi sebagai langkah keselamatan.
“Sekiranya terdapat anggota polis yang membocorkan maklumat, tindakan buang kerja dan dakwa akan dikenakan kepada mereka. Justeru, pengguna tidak perlu gusar terhadap setiap maklumat yang diberikan,” katanya. – K! ONLINE










