KUALA LUMPUR 11 Dis. – Seramai 1,600 perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menghadiri Perhimpunan Agung kali kedua parti itu yang dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 30 Disember ini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 135 bahagian di seluruh negara dengan 98 bahagian melibatkan sayap Srikandi manakala 115 pula adalah sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Menurutnya, perhimpunan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu juga akan disertai oleh mahasiswa tempatan serta dari luar negara.
“Perhimpunan kali ini dianggap penting kerana pertama kali diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan bagi menyatakan komitmen kita yang sentiasa mempertahankan kedudukan Melayu dan bumiputera.
“Kita tidak mahu rakyat meragui perjuangan parti ini yang sentiasa mendaulatkan bahasa Melayu dan kedudukan institusi diraja di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Bersatu di Bangunan Yayasan Selangor di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Setiausaha Agungnya, Datuk Marzuki Yahya dan Ketua Penerangan, Senator Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, setiap perwakilan bebas mengutarakan sebarang isu dan tiada sebarang peraturan tertentu dikenakan.
“Kita menjamin kebebasan penuh setiap perwakilan yang datang dari seluruh negara untuk bersuara kerana peluang ini adalah masa untuk kita mendengar sendiri masalah daripada akar umbi,” jelasnya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada perhimpunan kali ini diadakan kerana bimbang dengan sambutan #DaulatHimpunan812 menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) baru-baru ini, beliau menolak dakwaan itu.
“Bukan sebab bimbang dengan sambutan himpunan ICERD tetapi perhimpunan ini diadakan sebab kita merupakan parti komponen yang masih baharu dalam Pakatan Harapan (PH).
“Perhimpunan ini juga adalah peluang untuk kita menjelaskan dasar-dasar yang diperjuangkan PH yang masih menitikberatkan kos sara hidup rakyat, tentang kejatuhan harga getah serta tahap pendapatan yang masih rendah. Jadi, semua itu kita akan bincangkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE









