13 bubu naga dirampas - Utusan Malaysia

13 bubu naga dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 31 Dis. – Sebanyak 13 bubu naga, sejenis peralatan menangkap ikan yang boleh merosakkan ekosistem kerana turut memerangkap benih-benih ikan dan udang, dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sekitar perairan Tanjung Dawai di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmah Faizal Ahmad berkata, kesemua peralatan tersebut yang berukuran masing-masing 10 meter panjang dipasang di beberapa lokasi berbeza di kawasan itu.

Beliau menegaskan bahawa Jabatan Perikanan negeri tidak mengeluarkan sebarang lesen untuk bubu naga, justeru penggunaannya adalah diharamkan.

“Kesemua bubu naga itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 8(a), Seksyen 10(2) dan Seksyen 29 Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau, kejayaan itu adalah hasil maklumat disalurkan komuniti nelayan setempat dan Maritim Malaysia.

“Perjumpaan dan sesi dialog pihak Maritim Malaysia telah diadakan sebelum ini bersama komuniti nelayan dan seterusnya mewujudkan kampung angkat untuk mengeratkan hubungan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut boleh menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×