13 Ahli Parlimen belum isytihar harta - Utusan Malaysia

13 Ahli Parlimen belum isytihar harta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti seramai 13 orang Ahli Parlimen kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih belum membuat pengisytiharan harta masing-masing setakat ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil (gambar) berkata, pihaknya turut mengenal pasti 24 orang anggota pentadbiran termasuk setiausaha politik yang belum berbuat demikian.

Bagaimanapun katanya, tiada tempoh tetap untuk anggota pentadbiran kerajaan itu mengisytiharkan harta mereka kerana ia adalah sebahagian janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

“Terpulang kepada mereka untuk isytihar harta masing-masing kerana itu janji-janji mereka sebelum ini dan tiada peruntukan undang-undang khusus bagi mewajibkan mereka berbuat sedemikian.

“Hal ini kerana tertakluk kepada Kod Etika Anggota Pentadbiran Kerajaan dan Kod Etika Ahli Parlimen untuk Anggota Kabinet dan Ahli Parlimen bagi pengisytiharan harta,” katanya ketika ditemui selepas Program Walkabout Perdana Hari Anti-Rasuah Antarabangsa 2018 di ibu pejabat SPRM di sini semalam.

Tambah Shamshun Baharin, sehubungan itu, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada daripada kerajaan dan pembangkang untuk mengisyiharkan harta masing-masing.

Katanya, cadangan itu akan dibuat menerusi pindaan Akta SPRM atau satu undang-undang baharu yang bakal dibentang di Parlimen pada April 2019.

“Kewajipan mengisytiharkan harta ini juga bakal merangkumi pegawai-pegawai kanan kerajaan.

“SPRM masih melakukan kajian berhubung cadangan pindaan akta atau undang-undang baharu berkenaan usaha ini,” katanya.

Sehingga kini sejumlah 115 Ahli Parlimen kerajaan dan 63 anggota pentadbiran telah mengisytiharkan harta masing-masing.

Berdasarkan Portal Pengisytiharan Harta, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson merupakan antara 13 Ahli Parlimen yang belum mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan dan aset.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN