100 terputus bekalan air sejak tiga minggu - Utusan Malaysia

100 terputus bekalan air sejak tiga minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG 23 Dis – Lebih 100 keluarga di Kam­pung Tasek Bendang Guchil, di sini terpaksa mengharungi kehidupan harian mereka dengan penuh keperitan selepas kawasan berkenaan terputus bekalan air sejak tiga minggu lalu.

Dakwa penduduk, masalah yang berlarutan tanpa jalan penyelesaian itu menjejaskan aktiviti seharian termasuklah mereka yang mengusahakan kedai makan di kampung berkenaan.

Seorang penduduk, Salam Ali, 62, berkata, kawasan berkenaan sering mengalami masalah gangguan bekalan air, namun tidak seteruk yang dialami ketika ini.

Menurutnya, ini merupakan gangguan bekalan air yang pa­ling lama terpaksa diharungi oleh penduduk.

“Paling lama pun, sekitar dua hingga tiga hari sahaja, namun kali ini berbeza. Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) ada menyediakan perkhidmatan lori tangki, namun saya berdepan kesukaran untuk memunggah bekalan air kerana jaraknya dari rumah terlalu jauh.

“Buat masa ini saya bergantung sepenuhnya kepada bekalan air perigi untuk kegunaan seharian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Salam berkata, laporan gangguan bekalan air itu sudah dimaklumkan kepada pihak AKSB, namun sehingga sekarang masalah tersebut belum selesai.

Sementara itu, seorang peniaga, Mohd. Yusof Mat Ali, 53, berkata, dia terpaksa menutup kedai kerana masalah tersebut.

“Harap pihak berkenaan dapat menyelesaikan segera masalah ini kerana kami menanggung kerugian yang banyak,” katanya.

Jurucakap ASKB ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menerima laporan penduduk di kawasan tersebut dan sedang menyiasat perkara itu dengan lebih lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×