JOHOR BAHRU 24 Dis. – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah apabila apabila kedua-duanya terlibat dalam satu kebakaran di sini pagi ini membabitkan lori muatan diesel yang terbakar keseluruhannya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian berlaku di sebuah kilang di Jalan Mutiara Emas 5/17, Taman Mount Austin, di sini sebentar tadi.
Menurut kenyataan itu, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 10.30 pagi.
“Kebakaran membabitkan sebuah lori tangki minyak diesel berkapasiti 5,000 liter yang terbakar keseluruhan sebelum merebak ke bahagian kilang.
“Akibat kejadian itu, seorang lelaki maut manakala seorang yang lain cedera parah akibat melecur,” demikian menurut kenyataan itu.
Kedua-dua mangsa berusia 40-an dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE










