TERKENAL dengan naskhah filem yang kaya nilai estetika dan budaya, sutradara ikonik negara, U-Wei Saari menyifatkan skrip teater Pokok nukilan figura besar dunia seni penulisan kreatif serta teater tanah air, Tan Sri Johan Jaaffar menjadi alasan kukuh untuk beliau kembali mengarah drama pentas.
Kongsi pengarah filem Jogho tersebut, beliau tertanya-tanya apakah intipati yang dihasilkan oleh Johan menerusi teks Pokok memandangkan tokoh itu juga sudah lama tidak menulis skrip.
“Ketika membaca skrip tulisan Tan Sri Johan, saya dapati ia sangat jernih dan licin. Alur ceritanya kelihatan ringkas tetapi teksturnya sangat kaya. Beliau juga sudah lama tidak menulis, jadi ia membuatkan saya teruja untuk mengetahui isi penyampaian ceritanya.
“Menerusinya, saya teringatkan arwah isteri (Diana Gail Saari). Namun, pendirian saya adalah karya teater bukan untuk dibaca sahaja tetapi dipersembahkan. Jadi saya sangat berbesar hati dengan kerjasama yang terjalin ini,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar teater berkenaan di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.
Teater perdana Pokok akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka pada 7 hingga 16 Disember depan bermula pukul 8.30 malam.
Selain itu, ia juga akan dipentaskan pada waktu siang (matinee) sebanyak empat kali iaitu pada 8, 9, 15 dan 16 Disember pada pukul 3 petang.
Karya terbitan Balang Rimbun Sdn. Bhd. tersebut membariskan pelakon hebat tanah air seperti Ebby Saiful, Haliza Misbun, Rahim Jailani dan Buyung Zasdar.
Ketika ditanya tentang pemilihan barisan pelakon yang bukan calang-calang dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang teater, U-Wei menjelaskan, mereka adalah pilihan pertama yang muncul dalam fikirannya.
“Masa pemilihan pelakon tidak lama sebab dalam fikiran saya memang sudah ada nama-nama ini. Ada antara mereka yang sudah lama ‘bertapa’ dan sekarang kembali menghangatkan pentas teater.
“Kalau mahu tengok seseorang pengarah itu baik atau tidak, kita perlu lihat juga barisan pelakon yang dipilihnya,” kata U-Wei.
Meskipun forte beliau adalah dalam lapangan filem, namun U-Wei tetap teruja untuk menumpahkan segala keringat dan idea dalam prosesnya mementaskan karya tersebut.
“Kecenderungan saya adalah filem tetapi sama sahaja dengan teater sebab filem tetap berlandaskan seni persembahan. Jadi untuk pementasan Pokok, hanya elemen sinematik yang tidak digunakan.
“Untuk Pokok, saya perlulah gunakan syariat pementasan sebuah teater. Sebatang pokok di atas pentas hanyalah sebuah mekanik persembahan. Apa yang penting adalah zat dan isi kandungan cerita itu sendiri yang akan diharapkan sampai kepada penonton,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelakon terkenal, Ebby Saiful pula menyuarakan perasaan teruja dan bangga kerana dapat kembali ke pentas teater dan bekerjasama pengarah yang dikaguminya.
Beliau yang kini lebih banyak membuat kerja pengarahan berbanding berlakon berkata, penglibatannya dalam teater itu dianggap sebagai proses menuntut ilmu yang tidak akan dapat dicari di mana-mana tempat.
“Saya pernah berlakon beberapa kali dalam naskhah beliau dan daripada situ, saya dapati karakter U-Wei sedikit pelik.
“Beliau tidak sama dengan mana-mana orang yang saya pernah bekerja. Ada sesuatu pada diri beliau yang membuatkan saya tertarik untuk tahu dengan lebih mendalam. Jadi sebab itu saya sangat teruja untuk bekerja dengan beliau menerusi Pokok,” katanya yang terkenal dengan watak Latif dalam filem Ali Setan.











