IPOH 26 Nov. – Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir meninggal sesi pendengaran awam Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) berkaitan akaun anak syarikat kerajaan negeri, MB Inc. di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Zambry bertindak demikian setelah berhujah hampir 45 minit dihadapan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak, Leong Cheok Keng mengenai prosedur pendengaran awam tersebut yang disifatkannya tidak mengikut tatacara dan peraturan yang diamalkan selama ini.
Kata Zambry, di Parlimen sendiri tidak diadakan sesi pendengaran awam seperti itu meskipun telah ada usaha dilakukan pihak tertentu untuk melaksanakannya namun ditolak.
“Apabila seseorang itu dipanggil untuk beri keterangan dalam PAC, perlu ada asas dan selalunya panggil untuk penjelasan selepas laporan audit keluar apabila didapati terdapat agensi atau anak syarikat yang mempunyai masalah bukan secara pendengaran awam seperti ini.
“Jangan laksanakan ikut tafsiran sendiri, kena ikut tatacara dan peraturan. Jelas ini suatu episod yang sangat malang dan saya tidak akan membenarkan ia berlaku,” katanya.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PAC Chong Zhemin, dan Ahli Jawatankuasa PAC negeri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor Yahaya Mat Nor; ADUN Teja, Ng Shy Ching (PKR) dan ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria (PAS).
Dua lagi Ahli Jawatankuasa PAC iaitu ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim dan ADUN Slim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib tidak hadir. – UTUSAN ONLINE











