Zairil Khir Johari tewas pemilihan DAP P. Pinang - Utusan Malaysia

Zairil Khir Johari tewas pemilihan DAP P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 18 Nov. – Pemimpin DAP Melayu negeri ini, Zairil Khir Johari menerima kejutan apabila tewas dalam jawatankuasa kerja sempena pemilihan parti peringkat negeri di sini hari ini.

Zairil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri itu menerima 328 undi dan kurang lapan undi sekali gus gagal menempatkan diri dalam 15 kelompok teratas yang bertanding.

Turut tewas, Timbalan Ketua Menteri 2, Dr P. Ramasamy; Ketua Wanita DAP negeri, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuririani.

Bagaimanapun, Zairil dan Ramasamy ‘bernasib baik’ apabila masing-masing dilantik semula memegang jawatan Naib Pengerusi Parti yang disandang sebelum ini.

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah ketika ditemui berkata, kekalahan berkenaan merupakan perkara biasa.

“Bagaimanapun, saingan agak sengit dan saya menghormati keputusan yang dibuat perwakilan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berjaya mengekalkan jawatan Pengerusi DAP negeri yang disandang sejak 1999 manakala Jagdeep Singh Deo dipilih sebagai Timbalan Pengerusi.

Dalam pada itu, Lim Hui Ying yang juga adik Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengekalkan jawatan sebagai Setiausaha DAP negeri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN