PENGARAH Urusan Yamaha Racing Team, Lin Jarvis memberi sokongan penuh kepada pasukan satelit Yamaha, Petronas Yamaha Sepang Racing apabila membawa masuk dua individu terbaik untuk memacu pasukan tersebut musim depan.
Justerus, Jarvis mengakui pihaknya akan membantu pasukan satelit itu 100 peratus dengan membawa masuk dua individu penting iaitu Wilco Zeelenberg dan Ramon Forcada.
Sebelum ini, Zeelenberg menjadi pengurus pelumba Ducati, Jorge Lorenzo selama enam tahun sebelum beralih arah sebagai penganalisis prestasi pelumba Yamaha, Maveric Vinales musim lalu.
Zeelenberg yang menjadi mata dan telinga bagi mendapatkan pelarasan terbaik jentera akan ditugaskan untuk pasukan satelit Yamaha tersebut bagi membantu dua pelumbanya, Franco Morbidelli and Fabio Quartararo.
Zeelenberg akan dibantu oleh Forcada selaku ketua kru sebaik sahaja menamatkan tugasnya bersama Vinales musim ini.
“Kami akan membantu pasukan satelit semaksimum mungkin kerana pasukan ini masih baru pada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), jadi ia adalah tugas berat mereka.
“Kami akan membawa kru utama kami iaitu Forcada dan Zeelenberg untuk membina pasukan yang mantap. Saya fikir dengan adanya staf berpengalaman dan sokongan penuh daripada Yamaha akan membantu pasukan baharu itu melakukan yang terbaik,” katanya selepas majlis menandatangani kerjasama antara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan Yamaha Motor semalam.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta; Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya dan Ketua Kumpulan Yamaha Motor MotoGP, Kouji Tsyua.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali meletakkan sasaran realistik kepada kedua-dua pelumbanya iaitu muncul sebagai pelumba muka baharu terbaik dan pelumba pasukan bebas terbaik (pasukan satelit).
“Bagi tahun pertama, kami mahu pastikan pasukan ini betul-betul bersedia dan dapat bermula dengan baik. Saya akui pelumba seperti Quartararo meletakkan impiannya untuk menjadi pelumba baharu terbaik dan saya pasti itu yang kami mahukan.
“Bagi Morbidelli pula, kami mahu melihat dia menjadi pelumba pasukan bebas terbaik untuk musim depan. Ini adalah objektif awal kepada pasukan ini musim depan,” kata Razlan.










