KOTA BHARU 15 Nov. – Pasukan pilihan bekas kapten The Red Warriors (TRW) Mohd. Badhri Radzi atau Piya akan berentap dengan barisan legenda bola sepan Kelantan pada aksi persahabatan amal di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam esok.
Aksi persahabatan amal yang ditaja sepenuhnya oleh syarikat minuman pribiotik Yakult (M) Sdn. Bhd itu bertujuan mengisi tabung kebajikan untuk anak-anak yatim di negeri ini.
Pengarah Urusan Yakult, Hiroshi Hamada berkata, orang ramai yang ingin menyaksikan perlawanan tersebut hanya perlu membeli satu paket Yakult sebagai tiket untuk menyaksikan perlawanan tersebut.
Menurutnya, hasil jualan tersebut akan disalurkan ke pertubuhan anak-anak yatim di negeri ini.
“Ini merupakan salah satu bentuk sumbangan pihak kami di atas sokongan yang telah diberikan kepada Yakult sepanjang menjadi penaja kepada pasukan Kelantan sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perlawanan itu nanti, antara pemain bakal membarisi pilihan Piya ialah Mohd. Norfarhan Mohamad, Amiridzwan Taj Tajudin, dan Mohd. Qayyum Marjoni Sabil.
Legenda Kelantan pula akan diketuai bekas penjaring terbanyak Liga Malaysia 1993 dan 1994 iaitu Hashim Mustapa serta Anuar Rajib, Zamri Mohd. Nor dan ramai lagi. – UTUSAN ONLINE










