X70 diberi 5 bintang ASEAN NCAP - Utusan Malaysia

X70 diberi 5 bintang ASEAN NCAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Model SUV pertama Proton, X70 meraih pengiktirafan lima bintang selepas diuji melalui Program Penilaian Keselamatan Kereta Baharu di Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Maklumat mengenai ujian ASEAN NCAP terkini yang dikongsikan, menunjukkan mo­del paling baharu Proton antara model yang menduduki barisan tertinggi dalam segmennya bagi keselamatan penumpang.

Dengan rekod prestasi yang terbukti sebagai pengeluar kereta-kereta yang telah mendapat pengiktirafan lima bintang oleh ASEAN NCAP – Proton Iriz, Proton Persona, Proton Preve dan Proton Suprima S semuanya dinilai sebagai lima bintang, barisan jurutera serta pereka bentuk Proton memberi perhatian kepada setiap butiran untuk memastikan Proton X70 mendapat skor yang tinggi berdasarkan protokol ujian terkini bagi tempoh 2017-2020. Berdasarkan protokol baharu itu, teknologi bantuan keselamatan kini diambil kira dan dinilai sebanyak 25 peratus daripada skor keseluruhan.

Proton memperkenalkan struktur badan Pembentukan Tekanan Panas (HPF), yang digunakan untuk membentuk kerangka kereta-kereta penumpangnya sejak 2012.

Dengan penggunaan teknologi yang sama menjadi satu daripada faktor Proton X70 dapat memberi tahap perlindungan yang tinggi kepada penggu­naa­n­nya. Dengan kerangka HPF dilengkapi enam beg udara bagi semua varian, titik penahan tempat duduk kanak-kanak ISOFIX dan tali pinggang keledar dengan sistem penegang dan pengehad beban. Menggabungkan unsur-unsur ini, Proton X70 menerima skor yang sempurna untuk ujian kesan sampingan serta teknologi perlindungan kepala.

SUV ini juga merupakan model pertama Proton yang dilengkapi dengan pelbagai ciri bantuan keselamatan. Brek Kecemasan Berautonomi (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Amaran Tukaran Lorong (LDW) dan Sistem Amaran Titik Buta (BLIS) adalah sebahagian daripada sistem bantuan tambahan pemandu yang diperkenalkan pada model Proton X70.

Dengan adanya ciri-ciri ini, model SUV memperoleh skor yang tinggi untuk teknologi ke­selamatan.

“Terima kasih kepada usaha tekun pereka dan jurutera Proton, syarikat berjaya mengembangkan reputasinya untuk menghasilkan kereta yang mampu melindungi pengguna sekiranya berlaku kemalangan. Selain sistem bantuan tambahan pemandu yang diper­kenalkan pertama kali pada kereta Proton, Proton X70 turut dilengkapi dengan pelbagai ciri kemudahan seperti arahan sua­ra, Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHBC) dan kamera 360 untuk pengendalian pemanduan selamat di kawasan yang sempit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa dalam kenyataan di sini hari ini.

Selepas siri pratonton tertutup untuk tetamu jemputan dan media, Proton X70 akan membuat penampilan terbuka di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018. Sebanyak lima unit kereta akan dipamerkan dan pengunjung dijemput untuk melihat dengan lebih dekat SUV premium segmen C yang pertama dari sebuah jenama automotif Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN