Wujud perpaduan ketika Muhammad Adib diselamatkan - Utusan Malaysia

Wujud perpaduan ketika Muhammad Adib diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Nov. – ‘Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.’

WAN MD. HAZLIN AGYL
WAN AGYL

Itu yang ditegaskan oleh Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Agyl Wan Hassan.

Menurutnya, masih ada semangat perpaduan yang ditunjukkan rakyat negara ini apabila Muhammad Adib diselamatkan sekumpulan masyarakat India di tempat kejadian.

“Inilah semangat dan nilai perpaduan yang terdapat di negara kita sebenarnya di mana semua rakyat berbilang kaum cintakan perpaduan dan keamanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Wan Agyl, rakyat Malaysia sepatutnya menjadikan sejarah 13 Mei sebagai pengajaran dan pedoman kerana negara ini terlalu indah untuk dibasahi dengan darah kebencian perkauman.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk segera mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang memulakan insiden rusuhan yang berlaku Isnin lalu.

“Tindakan tegas perlu diambil kepada mereka yang memulakan rusuhan sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan mencederakan orang awam.

“Saya kecewa dengan perkara yang berlaku di kuil tersebut sehingga menyebabkan kecederaan parah seorang pegawai bomba yang kini masih dirawat di hospital,” ujarnya.

Wan Agyl turut mendesak supaya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, V. Ganabatirau kerana bersifat perkauman dan berat sebelah.

“Senator P. Waytha Moorthy menyalahkan pasukan polis dalam kes rusuhan ini dan meminta anggota polis kawasan tersebut dikenakan tindakan disiplin.

“V. Ganabatirau pula mengeluarkan kenyataan mengaitkan nama Islam sebagai dalang dalam rusuhan tersebut seolah-olah menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai ketua agama di negeri Selangor.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Rawa sepatutnya menegur dua individu ini supaya mereka berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana kita mempunyai pelbagai lapisan bangsa dan kepercayaan agama ini,” tambahnya.

Tambah Wan Agyl, perkara sebegini akan terus terus menjadi kebimbangan jika pemimpin yang mempunyai sifat perkauman akan menggugat keharmonian wujud di negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN