Waytha Moorthy jawablah... - Utusan Malaysia

Waytha Moorthy jawablah…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATA rakan seperjuangan saya, Sayed Hesham Idris dari Biro Utusan di Ipoh, orang luar takkan singgah saja-saja di Pekan Kg. Gajah, Pasir Salak kalau tidak ada tujuan.

Apatah lagi orang luar Perak. Dari Ipoh sahaja, ikut jalan dalam pun memakan masa 70 hingga 80 kilometer.

Tapi 1 September lalu sebelum Himpunan Melayu Bangkit inisiatif Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bermula, sembang Syed Hesham, begitu ramai orang luar singgah solat di Masjid Kg. Gajah. Berderet motosikal, bas dan kereta.

Dia pun sedikit cuak waktu itu kerana bila tiba di tapak perhimpunan hanya kelihatan kelibat 40 hingga 50 orang. Tetapi sebaik saja selepas solat isyak, berduyun-duyun datang meramaikan majlis termasuklah anak-anak muda. Bukan sekadar itu, datang dengan lilitan pada kepala lagi dengan sepanduk tertulis ‘Melayu bangkit’. Malah ada yang memakai tanjak seperti pahlawan Melayu. Sayed Hesham menganggarkan khalayak kira-kira 10,000.

Mereka datang dari seluruh pelosok negara atas kesedaran untuk mencetuskan gelombang kebangkitan orang Melayu yang katanya kini haknya diancam, raja-raja diperlekehkan manakala agama Islam semakin dipertikaikan.

Sabtu 17 November ini, dua hari lagi dipercayai himpunan kedua anjuran bahagian yang sama, dikenali Perhimpunan Perpaduan Ummah bakal dilangsungkan. Kali ini akan dihadiri pemimpin dua parti Melayu terbesar UMNO dan Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Antara fokus himpunan kali ini adalah tentangan terhadap rancangan mahu meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Isu ICERD dipercayai bersangkut-paut rapat dengan survival orang Melayu, Islam dan institusi raja.

Tajuddin ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam, mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy untuk menjawab isu-isu berkisar ICERD.

Beliau turut berkongsi beberapa perkara berikut yang diharapnya dapat direnung, dihayati dan seterusnya diambil iktibar oleh rakyat khususnya orang Melayu:

1. Kekalkah 153?

Saya (Tajuddin) mahu bertanya kepada kerajaan terutamanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Mengapa kamu begitu teruja mahu meratifikasi atau perkataan mudah mengesahkan ICERD ini? Bukankah apabila Malaysia mengesahkannya, artikel 153 dan dasar-dasar yang dimomokkan sebagai bersifat diskriminasi kaum yang telah dipersetujui sebagai balasan kepada persetujuan orang Melayu memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan itu akan terpaksa dimansuhkan?

Kalau setakat untuk mengadakan kesalahan-kesalahan bagi mengelak ketegangan antara kaum, sekarang pun kesalahan-kesalahan itu telah ada dalam Akta Hasutan 1948. Tambahkan sahaja kalau tidak cukup. Tapi yang hairannya Akta Hasutan hendak dimansuhkan, ICERD itu pula mahu disahkan. Kamu mesti berterus terang. Adakah melalui konvensyen yang jika disahkan nanti, keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak itu dihapuskan?

2. Sanggupkah berdepan demonstrasi jalanan?

Kelmarin Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah beri amaran akan kerahkan jutaan rakyat turun ke jalanan jika berlaku salah guna kuasa menggunakan Parlimen untuk mengiktiraf ICERD. Bayangkan anak-anak Melayu di Semenanjung, bumiputera dari Sabah dan Sarawak keluar ke jalanan. Waytha Moorthy jangan jadi punca huru-hara di negara ini? Jangan gugat keharmonian kaum yang wujud selama ini? Kalau majoriti rakyat yang silent ini tak berbunyi, tidak bermakna mereka terima ICERD.

3. Kontrak sosial, timbal balas

Dari segi sejarahnya, Malaysia atau dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan kawasan geografi yang majoriti penduduknya kaum Melayu. Kehadiran pemastautin bangsa lain bermula pada era penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun-20. Ketika itu British membawa masuk ramai tenaga buruh asing seperti rakyat China dan India untuk menampung kekurangan pekerja dalam industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah.

Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, ramai daripada buruh ini diberi pilihan sama ada untuk terus menetap di Malaya atau kembali ke negara asal mereka. Ramai yang memilih untuk tinggal di sini. Tidak kurang memilih untuk kembali.

Apabila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, buruh imigran ini diterima sebagai warganegara Malaysia melalui konsep jus soli dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Bahagian III-Kewarganegaraan; 3.1 Bab 1-Pemberian Kewarganegaraan; Artikel 14-22). Pemberian kewarganegaraan ini ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.

Aturan timbal balas atau quid pro quo penerimaan syarat-syarat ini dikenali sebagai ‘kontrak sosial.’ Kontrak inilah yang dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia dan penubuhannya sebagai sebuah negara. Kontrak ini turut dipanjangkan kepada penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang membabitkan status dan hak kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

4. Kesaksamaan atau kesamarataan?

Apabila Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2019, beliau menyatakan pasal kesaksamaan. Tetapi equality bukanlah bermakna kesamarataan. Kesaksamaan adalah memberi hak kepada mereka yang berhak sama ada individu atau kumpulan. Semua rakyat tidak mengira kaum ada hak masing-masing. Itu yang dikatakan saksama. Bukannya sama rata diperjuangkan oleh DAP dengan agenda Malaysian Malaysia.

Konsep ketuanan Melayu mendukung gagasan bahawa hak-hak dan status kaum Melayu sebagai penduduk asal Malaysia mesti sentiasa dilindungi melalui cara yang adil dan saksama; tanpa menghalang hak kaum bukan Melayu. Ia juga menjamin bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi negara Malaysia tidak akan ditidakkan. Teras politiking sesetengah parti di negara ini mengunjurkan kesamarataan hak rakyat Malaysia. Namun kesamarataan tidak semestinya membawa kepada kesaksamaan.

5, Gantikan Waytha Moorthy?

Orang Melayu jangan tidak ambil peduli pasal pertahankan hak-hak Melayu. Dalam Parlimen saya lihat ada kalangan ahli Parlimen dari Pakatan Harapan yang begitu liberal sehingga tidak sokong dasar-dasar untuk membela hak-hak Melayu. Saya berharap Kabinet mendengar suara rakyat dan kaum peribumi.

Adakah satu kesilapan melantik Waytha Moorthy sebagai menteri? Kalau ada rombakan Kabinet, elok saja dia digantikan dengan yang lebih layak. Yang lebih memahami dan menjiwai kontrak sosial sebab menteri mewakili suara kerajaan. Semestinya Tun Dr. Mahathir tidak mahu kerajaannya dianggap sebegitu teruk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN