SHAH ALAM – Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan untuk tidak alpa sebaliknya terus membawa perjuangan parti terutamanya mengenai nasib dan hak wanita meskipun telah menjadi kerajaan.
Timbalan ketuanya, Haniza Talha berkata, asas perjuangan parti selama ini perlu diteruskan supaya idealisme yang kita bina selama 20 tahun dapat dipertahankan dan direalisasikan.
“Ini semangat yang perlu ada. Jawatan bukan buruan, habuan bukan rebutan tetapi asas perjuangan itu perlu diteruskan.
“Kita menjadi suara sebenar wanita Malaysia dengan setiap tindakan yang kita laksanakan demi kepentingan wanita negara ini.
“Kita dididik untuk tidak tunduk mengalah malah lebih kuat bersuara sekiranya nasib dan hak wanita negara ini terus tercabar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR ke-13 bertemakan Wanita Muafakat Terus Mara di sini hari ini.
Haniza yang juga calon Ketua Wanita PKR berkata, sayap parti itu akan terus lantang bersuara dalam apa jua isu selagi ia memberi kesan kepada wanita di negara ini.
Katanya, tiada isu taboo bagi Wanita Keadilan (PKR) termasuk isu eksploitasi wanita Penan, perkahwinan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, penglibatan wanita dalam pembangunan ekonomi.
“Dalam isu eksploitasi wanita Penan, atas tindakan dan desakan kita pada ketika itu, isu ini bukan sahaja mendapat perhatian kerajaan pemerintah tetapi juga ke peringkat antarabangsa.
“Begitu juga dengan isu perkahwinan kakak-kanak. Apabila sampai ke kepimpinan Wanita PKR, kita yang pertama memberi respon dan tekanan kepada pihak kerajaan untuk ambil tindakan wajar,” katanya.
Menurutnya, ini merupakan legasi yang akan disambung dengan kepimpinan akan datang sekaligus akan menetapkan iltizam, memastikan Wanita PKR terus mara dalam memperjuangkan hak, nasib dan masa depan wanita.
Untuk rekod, seramai 320,339 ahli wanita PKR direkodkan sehingga 15 November lalu dengan Selangor menjadi negeri paling ramai ahli wanita iaitu seramai 99,188 orang diikuti Sabah (64,655) dan Sarawak (22,800). – K! ONLINE











