SHAH ALAM 16 Nov. – Wanita PKR Selangor mencadangkan kerajaan menaikkan lagi had umur minimum perkahwinan kepada 20 tahun terutama bagi melindungi wanita muda dari segi kesihatan selain membolehkan mereka melanjutkan pendidikan ke peringkat tinggi.
Wakilnya, Ermeemarianna Saadon menganggap umur di bawah 20 tahun adalah terlalu muda dan belum cukup matang bagi seorang wanita untuk bergelar ibu dan berkeluarga.
“Disebabkan terlalu muda, mereka belum cukup matang dan tidak berilmu dalam soal rumah tangga.
“Hal itu juga dilihat menjadi punca kenapa berlakunya kes keganasan rumah tangga dan penceraian dalam kalangan pasangan muda,” katanya dalam perbahasan Kongres Nasional Wanita PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, beliau berkata, cadangan had umur perkahwinan itu datang daripada beliau sendiri selepas mengikuti perkembangan semasa membabitkan perkahwinan pada usia muda dan implikasinya kepada masyarakat.
Meskipun Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diterajui oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu menaikkan had umur mininum perkahwinan daripada 16 tahun kepada 18 tahun, Ermeemarianna melihat had umur 20 tahun adalah lebih baik. – UTUSAN ONLINE










