Wanita PKR cadang dua nama anak tempatan pada PRK DUN Rantau - Utusan Malaysia

Wanita PKR cadang dua nama anak tempatan pada PRK DUN Rantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mencadangkan dua nama kepada pucuk pimpinan parti untuk menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Calon Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin berkata, kedua-dua individu yang dipilih adalah anak tempatan dan berkelayakan untuk bertanding di pilihan raya kecil berkenaan.

“Saya akan cadangkan wanita untuk menjadi calon PRK berkenaan kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tiada calon wanita diletakkan di peringkat negeri itu.

“Perkara ini penting kerana rakyat Negeri Sembilan sememangnya mahukan calon kelahiran negeri itu dan kita harap pucuk pimpinan dapat mempertimbangkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kongres Nasional Tahunan Wanita ke-13 bertemakan Wanita Muafakat Terus Mara di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Zuraida bagaimanapun berkata, PKR belum mengadakan sebarang perbincangan kerana keputusan mahkamah baharu sahaja diumumkan.

Mahkamah Tinggi Seremban hari ini mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi kerusi DUN Rantau dalam PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar yang mengarahkan PRK diadakan selepas kerusi DUN berkenaan dimenangi Mohamad tanpa bertanding pada 28 April lalu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas calon PKR bagi kerusi DUN itu, Dr. S. Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu bagi mencabar keputusan di kerusi tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN